Wednesday, 6 June 2012

CERPEN YAYAH


KASIH SUCI MEREKA

KASIH SUCI MEREKA 


gambar ni tak ada kena mengena dalam ini cerita..sekadar hiasan aje..haha!



Aku merupakan anak kepada seorang bapa yang sangat tabah. Aku merupakan anak kepada seorang bapa yang sangat tegas. Aku merupakan anak kepada seorang bapa yang bekerja sebagai buruh binaan. Aku antara salah seorang anak kepada seorang bapa yang hanya memiliki empat orang cahaya mata.



Ini bermakna, aku hanya mempunyai empat adik-beradik iaitu abang, adik lelaki berumur tujuh tahun dan adik perempuanku yang paling comel dan baru sahaja berumur empat tahun. Abang bernama Ahmad Khusyairi bin Abd Rahman. Adik lelakiku bernama Muhd Asyraff Fikry bin Abd Rahman manakala adik perempuanku itu pula Siti Munirah binti Abdullah.



Munirah berbintikan Abdullah kerana dia bukan adik kandungku. Aku menemui Munirah di kawasan pelupusan sampah beberapa tahun lalu. Ketika itu, keadaannya masih berdarah dengan lilitan tali pusat di lehernya. Lebih mengharukan aku tatkala melihat banyak semut api menggigit-gigit kulitnya. Sewaktu aku membawa pulang Munirah, Asyrafflah yang paling gembira kerana sedari dulu lagi dia mahukan adik. Namun, hajatnya tidak kesampaian kerana ibu secara tiba-tiba sahaja menghilangkan diri tanpa berita.



Sedari kecil lagi, aku memanggil bapaku abah. Bukan setakat aku sahaja, malah abang dan adik-adik juga begitu. Kami hidup bersederhana tanpa ibu. Rumah kami pula tidaklah sebesar rumah semua orang. Makanan yang kami kunyah juga tidak sesedap makanan hidangan semua orang. Pakaian kami, usahlah ambil tahu. Kami mengutip semua pakaian kami di tempat pembuangan sampah. Kebetulan pula kawasan sampah itu betul-betul berhadapan dengan rumah kami.



Aku masih tidak mengetahui ke manakah ibu berada. Setiap hari aku termenung di jendela dengan harapan agar ibu pulang ke rumah ini. Apabila aku bertanya kepada abang, dia sekadar membisu. Aku takut untuk bertanyakan perihal ibu kepada abah. Pernah sekali Asyraff bertanya di manakah ibu. Sebaik sahaja perkataan ‘ibu’ terpacul di bibir Asyraff, lantas abah menampar pipinya sehingga Asyraff tersungkur ke tanah.



“Jangan sesekali kau sebut nama ibu kau depan abah. Abah tak suka!” gertaknya dan sampai sekarang teriakan abah seolah-olah masih terngiang-ngiang dalam gegendang telingaku.



Pipi Asyraff ketika itu mengalami lebam dan giginya hampir patah. Dia menangis sekuat hati di hadapan abah, barangkali meminta simpati. Namun, abah tidak mengendahkan tangisan Asyraff malah abah terus keluar menjalani tanggungjawab sebagai buruh binaan. Abah mencapai topi keselamatan berwarna kuning dan but kasut lalu melangkah pergi tanpa sedikitpun menoleh ke arah Asyraff yang tersedu-sedan didakapi kesedihan.



Tiada sesiapa hendak memujuk Asyraff agar meredakan ombak sedihnya melainkan aku. Harapkan abang, aku tidak mahu menyusahkan dia kerana dia pun sibuk bekerja. Abang merupakan anak sulung dari keluarga serba daif ini. Bagiku, abang merupakan abang yang terbaik di dunia ini. Dia sanggup berhenti sekolah semata-mata kerana aku padahal ketika itu adalah tahun buat dia menghadapi peperiksaan besar kali ketiga dalam seumur hidupnya. Jika dihitung ke tahun ini, abang barangkali akan memasuki universiti atau sudahpun bergraduasi manakala aku adalah pelajar tingkatan 5.



Abang pernah mengadu kepadaku bahawa dia ternampak abah sedang mengira dan membahagikan wang di halaman belakang rumah. Katanya lagi, abah sekadar mendapat empat keping duit not hijau kebiruan. Abah membahagikan duit itu kepada empat. Sekeping untuk duit poket aku dan abang dalam sebulan. Sekeping lagi untuk membeli lampin dan susu tepung Munirah. Sekeping untuk membayar yuran persekolahan kami yang sudah berbulan-bulan tidak dibayar manakala sekeping lagi untuk barang dapur selama sebulan.



Bagiku, duit lima puluh ringgit tidak mencukupi buat aku dan abang membeli makanan di sekolah selama sebulan. Jika dibahagi kepada 31 hari dan dibahagi lagi kepada dua, kami sekadar membawa duit poket sekurang-kurangnya lapan puluh sen setiap hari. Di kantin, makanan tidak dijual dengan harga lapan puluh sen melainkan snek ringan. Jadi, setiap hari juga kami memakan makanan tidak berkhasiat itu. Tambahan lagi, aku dapat memperoleh empat bungkus snek dalam duit lapan puluh sen itu. Sekurang-kurangnya dapat mengalas perutku sebelum belajar.



Kadang-kadang abang akan memberikan duit poketnya kepadaku dengan alasan bahawa dia sudah kenyang. Aku tidak dapat menolak pemberiannya kerana abang bertegas supaya aku perlu memakan makanan berkhasiat. Meskipun abang berkata dia sudah kenyang, tetapi bagiku dia sedang berbohong. Aku dapat mengagak sebenarnya dia lebih lapar daripadaku melalui mata berkacanya. Namun, aku terpaksa akur dengan pemberian abang kerana bimbang dia memarahiku.



Pernah sekali abang pengsan ketika perhimpunan pagi berlangsung. Selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan bahawa abang mengalami gastrik yang sangat serius. Dia mahu aku merahsiakan masalah kesihatannya daripada abah, tetapi segala-galanya sudah terlambat. Cikgu Fatimah telah memberitahu abah terlebih dahulu selepas doktor membuat pemeriksaan. Abah tergesa-gesa datang ke hospital dengan peluh yang membasahi baju koyaknya. Abah menghempas kuat pintu wad abang dengan mata berapi-api.



Aku dan abang terpana seketika kerana terperanjat dengan kehadiran abah. Itulah kali pertama kulihat garis-garis marah pada wajah tua abah. Umpama dirasuk hantu, abah menanggalkan tali pinggangnya lalu melibas ke badan abang berulang-ulang kali. Aku memeluk lengan abah dan menangis kerana tidak tahu hendak menenangkan abah yang makin berang. Cikgu Fatimah sekadar menolak bahu abah dan abang.



“Aku dah beri duit kepada kau. Kenapa kau tak nak beli makanan, ha?! Tak cukupkah duit yang aku beri tu!”



“Ampunkan along, abah! Ampunkan along!” abang merintih kuat. Namun, abah masih menghayunkan tali pinggang buruknya itu. Oleh kerana tidak tahan melihat abang merintih kesakitan, aku lantas melompat ke katil pesakit lalu memeluk abang. Dan kali ini, aku pula disebat oleh abah. Belakangku terasa perit seolah-olah dicucur dengan besi panas berulang-ulang kali.



“Aku berikan duit untuk kau berdua makan. Bukannya simpan untuk biakkan duit!!” abah masih lagi membebel dan tidak lekang melibas tali pinggangnya ke belakang badanku. Dalam beberapa minit, barulah abah berhenti. Abah termengah-mengah lalu keluar ke bilik wad sementara abang memelukku dengan linangan air mata. Sukar untukku bernafas kerana dakapan abang terlalu erat. Namun, aku sekadar membiarkan abang memelukku kerana barangkali dia berasa serba salah.



“Apa sebenarnya yang terjadi? Kenapa ayah kamu berang sedangkan kamu sedang sakit? Cuba terangkan kepada cikgu”, soal Cikgu Fatimah dengan roman muka yang penuh tanda tanya. Aku dan abang sekadar membisu seribu bahasa. Terasa malu hendak menceritakan masalah kami.



“Kamu berdua tak ada duit untuk beli makanan masa rehatkah?” duga Cikgu Fatimah.



Aku mengangguk.



“Kalau macam tu, biar cikgu berikan sedikit wang kepada kamu berdua setiap hari. Pastikan kamu berdua makan makanan seimbang. Jangan ikat perut hanya kerana tiada duit. Lain kali minta pada cikgu ya”, Cikgu Fatimah bercadang dengan senyuman manis. Cadangan cikgu membuatkan jiwaku dibungkus rasa segan. Beberapa kali abang menolak cadangan Cikgu Fatimah tetapi Cikgu Fatimah masih dengan pendiriannya. Akhirnya, kami berdua terpaksa bersetuju. Ini pun demi abah juga.



Setiap kali waktu rehat, aku terpaksa menebalkan muka meminta duit kepada Cikgu Fatimah. Cikgu Fatimah akan memberikan empat keping duit kertas berwarna biru dan memintaku untuk memberikan separuh daripadanya kepada abang. Mukaku bagaikan disimbahi cat merah tatkala ramai pelajar melihatku yang sering menadah tangan ke arah Cikgu Fatimah.



“Tak malu. Dahlah baju compang-camping, papa kedana. Lepas tu minta sedekah pula kat Cikgu Fatimah. Tak malu betul”. Aku dapat mendengar jelas suara-suara jahat sedang mengumpat tentangku. Aku sekadar memekakkan telinga dan cepat-cepat pergi ke kelas tingkatan 5 Sains 1 untuk bertemu dengan abang. Kusangka, hatiku sudah tabah mengharungi tohmahan manusia di sekelilingku, tetapi ternyata tidak. Sampai sahaja ke kelas abang, aku menangis teresak-esak.



“Kenapa menangis ni, angah?” soal abang.



“Budak tingkatan empat kutuk angah tadi”, terangku dalam esakan tangis. Sebaik sahaja aku memberitahu perihal sebenar, abang menjadi marah lalu mencari budak yang kukatakan itu. tidak kusangka abang membelasah budak itu sehingga mereka berdarah. Oleh kerana tindakan abang melanggar peraturan sekolah, pengetua membuat keputusan untuk menghentikan persekolahan abang.



“Tuan tak sepatutnya membuat keputusan begitu. Berilah peluang kepada Khusyairi. Dia pelajar cemerlang dan ada harapan untuk mengharumkan nama sekolah kita”, Cikgu Fatimah memujuk. Pujukan cikgu tidak sedikitpun mematahkan pendirian pengetua. Cikgu Fatimah terkilan dan dia tidak menyedari air matanya telahpun membasahi pipi gebunya. Berbeza pula dengan abang. dia lebih gembira. Sepatutnya, abang yang perlu menangisi keputusan itu.

“Along tak sepatutnya gembira. Pelajaran kan masa depan along? Kalau pengetua buang along dari sekolah, macam mana dengan cita-cita along? Takkan along tak nak jadi seorang doktor?” soalku, sengaja bermain psikologi dengan abang.



“Gembira. Along memang patut gembira sebab abah tak payah bayar yuran persekolahan along lagi. Biar abah bayar yuran angah aje. Kurang sikit beban abah, kan? Biarkan along tak bersekolah asalkan angah dapat belajar”, ujar abang. Senyumannya terukir pada bibir keringnya. Serta-merta lesung pipit mula terbit di pipinya. Aku kehilangan kata-kata. Hanya mampu menangis dan memeluk abang dengan erat.



Sejak diberhentikan dari persekolahan, abang bekerja sambilan sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran terkenal di daerahku. Jarak antara rumahku dengan restoran itu tidaklah jauh, antara 100-200 meter. Jadi, abang menggunakan nikmat kakinya dengan berjalan ke sana. Upah abang tidak sebanyak mana, hanya sehari dua puluh ringgit. Setiap kali mendapat upah, abang akan membeli baju untuk Munirah kerana adik comelku itu hanya memakai baju singletku dari umur setahun hinggalah sekarang. Baki duitnya akan disimpan dalam tabung buluhnya.



Namun, sangat berbeza dengan abah. Tempat pekerjaan abah sangat jauh. Disebabkan terlalu jauh, abah terpaksa bangun dalam pukul empat pagi padahal waktu abah habis kerja dalam pukul dua belas tengah malam. Sebenarnya, abah membuat dua kerja. Pada sebelah pagi sehingga petang, abah akan bekerja sebagai buruh binaan di kawasan bangunan yang bakal menjadi tapak perniagaan. Sebelah malamnya pula, abah menjadi pembantu dalam tempat basuh kereta. Aku sendiri tertanya-tanya adakah abah tidak terasa penat bekerja dalam dua pekerjaan.



Oleh itu, aku sengaja bangun dalam pukul tiga pagi untuk membuat sarapan buat abah. Sarapan kami tidak semewah semua orang. Aku hanya menggoreng ikan kering dan menanak nasi diiringi air kopi. Aku terpaksa membuat air kopi yang cair dan kurang manis bagi menjimatkan serbuk kopi dan gula pasir memandangkan harga barangan runcit semakin tinggi setiap hari. Mujurlah kedai runcit 1 Malaysia tidak jauh dari rumah kami. Dapatlah mengurangkan beban kewangan kami sedikit.



“Awalnya angah bangun?” Bahuku terhinggut sedikit kerana terkejut mendengar sapaan abah dari belakang. Abah menenyeh-nenyeh matanya dengan jari. Lingkaran matanya yang sembab dan gelap jelas menggambarkan bahawa abah tidak cukup tidur, atau mungkin menangisi pemergian ibu. Mungkin.

“Angah buatkan abah sarapan. Bagi abah bertenaga sikit untuk bekerja. Barulah bos abah sayang abah”, selorohku sambil mendepakan tangan. Namun, gurauanku tidak memecahkan tawa abah. Abah cuma mendiamkan diri dan matanya menyoroti ke mataku, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.



“Alangkah bagusnya jika ibu kau berada di sini lagi”, secara tiba-tiba abah mengungkapkan kata-kata. Abah tertunduk lalu menuju ke tandas setelah mencapai tualanya. Aku terkesima. Inilah kali pertama aku mendengar abah menyebut perihal ibu. Ingin sahaja aku bertanya kepada abah apakah sebenarnya yang terjadi antara abah dengan ibu. Kenapa ibu meninggalkan kami anak-beranak? Bilakah ibu akan pulang kembali? Di manakah ibu sekarang? Adakah ibu meninggalkan kami kerana melahirkan anak yang tempang seperti Asyraff?



Usai azan subuh berkumandang, aku mengejutkan abang dan Asyraff dan solat berjemaah bersama-sama. Selalunya abanglah yang menjadi imam. Abah tidak sempat bersolat bersama-sama, tetapi dia sering membawa sejadah buruk dalam beg plastiknya. Setelah menyembahkan diri kepada ALLAH, abang akan menemaniku ke sekolah. Kami berjalan sejauh dua kilometer dan kadang-kadang aku akan tiba di pintu pagar sekolah seminit sebelum waktu perhimpunan.



“Belajar rajin-rajin. Angahlah harapan along”, pesan abang sebelum kukucup tangannya dan berlalu pergi. Sebenarnya, aku sering ditimpa rasa malu ketika bersekolah kerana penampilanku yang sangat selekeh. Baju kurung dan tudungku lusuh kerana baju itulah kusarung sejak darjah enam lagi. Kain sekolah biruku pula sangat banyak kesan jahitan dan tampalan kain perca. Kasutku, usah kukatakan. Kasutku seperti mulut harimau yang jelas menampakkan stoking berlubangku. Beg sekolahku pula kukutip di timbunan sampah dan bau busuk sampah masih lagi terlekat pada beg itu.



Jika penampilanku sudah seburuk ini, tidak mustahil aku sering dihina dan dicaci. Aku masih ingat lagi sewaktu cikgu mengadakan eksperimen dalam subjek kimia. Salah seorang daripada kawan sekelasku secara tidak sengaja membuka botol ammonia. Habis seluruh ruang makmal kimia berbau busuk yang bisa mengalahkan bau bangkai. Kami semua termasuklah cikgu keluar dari makmal itu.



“Yark! Busuknya bau ammonia tu!” tegur Mei Mei.



“Tapi aku rasa lagi busuk bau badan si Aini tu”, ujar Fadilah tanpa berlapik dan tanpa berselindung. Aku berasa amat berkecil hati terhadap kata-katanya. Bukan setakat Fadilah saja, malah semua pelajar di sekolah ini. Pelbagai panggilan yang mereka berikan kepadaku. Perempuan sihir. Kerbau. Lembu. Tahi tikus. Bermacam-macam lagi. Mereka akan menutup hidung apabila aku berjalan di hadapan mereka.



“Woi, busuklah kau ni! Duduk kat sampah ke? Anak dara apalah kau ni”, sindir Halim, lelaki yang sangat kubenci dan merupakan anak orang berada. Disebabkan mulut bangkai dialah, aku sering menjadi bahan ketawa. Semenjak kami dari tingkatan satu lagi, dia mula mengusik kasar terhadapku. Kalau dulu ada abang, aku boleh mengadu kepadanya dan kebetulan Halim takut akan abang. Sejak abang tiada, Halim mula menunjukkan belang jahatnya.



Kadang kala semangatku menjunam ke bawah. Kadang kala aku mahu berhenti sekolah seperti abang. Namun, aku memegang kata-kata Cikgu Fatimah, “Cacian orang sebenarnya modal untuk kita teruskan berusaha dalam mengecapi kejayaan”. Selama ini, Cikgu Fatimahlah sumber inspirasiku untuk terus berjuang dalam SPM. Dan aku sudah menganggap dia seperti ibu sendiri.



Habis sahaja waktu sekolah, aku terus berjalan pulang ke rumah. Tidak seperti pelajar-pelajar lain yang pulang lewat kerana ada tuisyen. Selalunya, abang akan tiba ke rumah dulu sebelumku. Usai menyalin pakaian, kami empat beradik menjamu selera bersama-sama. Lauk kami hanyalah ikan kering, nasi, kicap dan ulam-ulaman. Ulaman itu bukanlah seperti ulam raja dan ulam pegaga, tetapi ‘ulaman’ yang kupetik di belakang rumah tanpa mengetahui apa jenis pokok itu. Kadang-kadang sahaja abang membeli makanan kerana baginya, dia mahu menyimpan wang untuk membetulkan rumah kami.



Usai solat Zuhur, abang akan menemaniku membuat kerja sekolah. Abang sering mengajarku mata pelajaran yang amat senang baginya terutama sekali Fizik. Jika aku tidak mengalami masalah ketika membuat kerja sekolah, abang akan beralih pula ke arah Asyraff. Abang mengajar Asyraff huruf dan matematik. Abang banyak membeli buku latihan buat Asyraff dan Asyraff pula tidak pernah mengecewakan abang. Segala soalan dalam buku latihan itu, dapat dijawab olehnya. Aku dapat membayangkan masa depan Asyraff jika dia mengekalkan kesungguhannya itu.



Apabila Munirah merengek, abang melarangku untuk membancuh susu buatnya. Sebaliknya, abang sendiri membancuh susu dan membelai Munirah seolah-olah Munirah adik kandung kami sendiri. Entah mengapa, aku berasa bangga memiliki abang yang penyayang sepertinya. Dengan tangan mendukung Munirah, abang masih lagi mengajarku. Dia memaksaku untuk berusaha lebih terhadap subjek Bahasa Inggeris. Memang tidak disangkal lagi subjek itu adalah subjek yang paling kubenci. Apabila aku mengutarakan kebencianku, abang terus-menerus menghamburkan kata-kata marahnya.



“Bodoh! Bahasa Inggerislah penentu kejayaan kau. Kalau kau tak suka, lebih baik kau jangan berangan-angan untuk masuk universiti”, abang memberi amaran sambil dukungannya dikinja-kinja supaya Munirah yang mula merengek. Aku terkedu mendengar kata-kata abang dan hampir dua minggu aku menimbang arahannya. Ternyata kata-kata abang ada benarnya. Jadi, setiap minggu aku meminjam buku berkenaan Bahasa Inggeris di perpustakaan. Setiap kali aku membaca ayat, setiap kali juga aku tidak lekang membuka kamus dwibahasa. Aku mengaku bahawa aku amat lemah dalam menghafal ayat Bahasa Inggeris, apatah lagi menggunakan grammar.



“Kau kena berusaha lagi. Jangan patah semangat kerana abah dan abang mengharapkan kau, Aini”, hatiku seperti berbisik sesuatu yang memotivasikan diriku. Dengan semangat demi abah, aku teruskan usaha. Alhamdulillah, hasilnya sangat memberangsangkan apabila peperiksaan percubaanku mendapat B- dalam subjek itu. Meskipun tidak A+, tetapi aku amat bersyukur dan berbangga dengan kejayaan yang diperolehi.



Lebih mengujakan apabila aku mendapat anugerah pelajar terbaik. Aku sangat gembira dan berharap agar abah hadir dalam majlis itu. Namun, harapanku hanyalah sia-sia. Sehingga majlis tamat pun, abah tidak hadir juga. Perasaan kecewa membungkus jiwaku ketika itu dan serta-merta jantungku seperti hampir berhenti berdetak apabila Cikgu Fatimah tergesa-gesa mendapatkan aku seraya berkata:



“Ayah kamu terlantar di hospital!”



Tiada madah untukku luahkan melainkan berlari, berlari dan terus berlari sambil memeluk piala yang disaluti emas. Air mataku sudah mulai bercucuran dan melanggar semua orang yang menghalang laluanku. Akalku hanyalah tertumpu kepada abah. Belum selangkah aku keluar dari pintu pagar, Cikgu Fatimah memegang tanganku dan secara automatik larianku terhenti.



“Biarkan cikgu tumpangkan kamu”, ujar Cikgu Fatimah lalu mengheretku ke kereta Vivanya tanpa menunggu keputusanku. Sampai sahaja ke hospital, mataku melilau-lilau mencari kelibat abang. Cikgu Fatimah tertinggal di belakang dan makin hilang dalam kerumunan manusia. Aku berasa bersalah terhadapnya tetapi aku perlu cepat. Dari jauh, kulihat Asyraff sudah menangis teresak-esak manakala Munirah terlena dalam dakapan abang. Abang pula sekadar membuat wajah biasa walaupun aku tahu di hatinya berombak risau.



“Apa dah terjadi dengan abah?” soalku kepada abang. Abang menghela nafas panjang dan memberi isyarat supaya aku duduk di kerusi. Asyraff terus menekup mukanya ke ribaku dan dapat kurasakan air matanya telah membasahi kain sekolahku sekarang. Aku masih lagi tertanya-tanya, kenapa abah masuk hospital? Apakah yang telah berlaku? Ya ALLAH, selamatkan abahku..



“Abah terjatuh ketika memanjat besi konkrit. Kaki abah patah, tapi...”, abah melepaskan batuknya lalu menyambung bicara, “Kos perubatan terlalu tinggi. Abang tak ada duit untuk membayar kos itu”.



“Soal duit along jangan risau. Angah dah lama simpan duit dalam keadaan macam ni simpanan angah ada RM100. Along gunalah”, ujarku dalam keadaan teresak-esak.



Cikgu Fatimah muncul dan terus berkata, “Tak. Biar cikgu saja yang bayarkan. Kamu simpanlah duit untuk masa hadapan kamu”, sekali lagi Cikgu Fatimah mengutarakan cadangan yang membuatkan aku berasa segan buat kali kedua. Segan sungguh meminta pertolongan daripada orang lain. Cikgu Fatimah sudah banyak menolongku dari segi kewangan. Andai ditakdirkan aku sudah berjaya, aku berjanji tidak akan melupakannya.



Sebulan abah terlantar di hospital dan sebulan juga abang menggantikan abah dengan bekerja di tempat pembinaan sementara waktu. Aku pula sudah kurang pergi ke sekolah kerana berasa susah hati meninggalkan Asyraff dan Munirah di rumah papan beratap zink karat ini. Aku bimbang dengan keselamatan adik-adikku memandangkan mereka masih lagi dalam takuk yang belum matang pemikirannya. Lagipun, kawasan rumahku terlalu banyak anjing liar dan tikus berlegar-legar di kawasan perlupusan sampah itu. Sangat berbahaya jika aku meninggalkan mereka berdua di rumah.



Dalam pukul empat petang, abang akan pulang dari tapak pembinaan. Baju lusuhnya berdebu manakala mukanya dipenuhi pepasir dan serbuk simen. Roman wajahnya jelas mempamerkan keletihan yang melampau. Melihat keadaan abang sebegitu, aku tidak dapat membayangkan keadaan abah yang menghadapi pekerjaan itu setiap hari. Itu belum ditambah lagi dengan kerja malam abah. Di kala ini, barulah aku menyedari betapa cekalnya abah mencari sesuap nasi buat kami anak-beranak.



Setelah abang membersihkan diri, kami selalunya akan ke hospital dengan membawa bekal nasi dengan ikan kering buat abah. Perjalanan kami terganggu kerana abang banyak berhenti dan mengurut lututnya. Barangkali dia berasa sangat penat dan tidak sempat melepaskan lelahnya tadi. Sudah berkali-kali juga aku menyuruhnya agar berehat dalam sepuluh minit, tetapi dek rengekan Munirah yang semakin menjadi-jadi, abang menggagahi jua. Katanya, dia tidak mahu Munirah rimas di tengah-tengah mentari panas.



Sampai sahaja ke wad abah, aku dan abang tersentak dengan kehadiran seseorang. Ibu! Ibu cantik memakai baju berkilau-kilauan dan lehernya dihiasi rantai emas bermutu tinggi (aku rasa). Ibu memandang kami berempat lalu terus berjalan merapati kami. Serta-merta Asyraff menyorok ke belakangku manakala abang secara tiba-tiba sahaja berwajah pucat.



“Jangan! Along, angah! Bawa Asyraff keluar!” arah abah yang masih terbaring di atas katil. Pucat wajah abang tatkala melihat ibu lalu dia terus merangkul tangan Asyraff dan berlari keluar dari wad abah, meninggalkan aku. Ibu menghamburkan kata-kata kesat dan merenung tajam ke arahku. Waktu itu, aku seperti mahu memeluk ibu kerana aku terlalu rindukan ibu, tetapi...



PAANNGG!!



Aku jatuh bertelangkup sambil mengusap-usap pipi. Pedihnya menyelirat sehingga ke otak. “Kau ni memang menyusahkan aku! Kalaulah aku dapat anak perempuan sial macam kau, dah lama aku bunuh kau lepas aku lahirkan kau lagi, tahu! Lepas kau lahir aje, banyak benda malang yang terjadi! Dengan adik kau yang tempang, dan aku yang bercerai dengan abah kau pun disebabkan kau!” ibu menengking sambil menanggalkan tudungku. Ibu menarik rambutku sehingga aku menjerit kesakitan. Ya ALLAH, apakah salahku terhadap ibu?



“Sudahlah, Fauziah! Kau jangan salahkan anak aku!” abah pula menengking.



“Kau dengan budak bawa malang ni sama saja. Kalau diikutkan hati, aku tak ingin berkahwin dengan orang miskin macam kau. Entah kenapalah aku ni terlalu bodoh kerana sanggup menjadi isteri kau!”



“Fauziah!”



“Aku bersyukur sangat bila kau menceraikan aku dengan talak tiga. Tak perlulah aku kembali ke pangkuan kau lagi. Dan lihat ni”, ibu menayangkan gelang emasnya kepada abah. “Inilah hasilnya lepas kau ceraikan aku. Aku menjadi kaya! Suami aku sekarang lebih kaya daripada kau, miskin hina!”



“Fauziahh!!”. PAANNGG! Sekali lagi bunyi tamparan bergema di bilik wad abah. Ibu terdiam sambil mengusap pipinya seperti aku mengusap pipiku. Ibu menoleh ke arahku dan terus berlalu pergi. Entah mengapa, perasaan rinduku semakin terhapus dengan simbahan kecewa. Kecewa dengan sikap angkuh ibu yang terlalu mengagung-agungkan harta duniawi daripada kasih sayang anaknya. Tanpa kusedari, empangan kelopak mataku digenangi air mata.



Perlahan-lahan abah mendekatiku dengan memakai topang ketiak. Abah memeluk bahuku sebelum mendamparkan kepalaku ke dadanya Jari jemarinya membelai lembut ke mahkotaku dan dapat kurasakan derasan nafasnya. Di saat itulah kurasakan kasih sayang abah menguasai perasaanku. Lantas kupeluk badannya erat-erat. Kemesraan antara bapa dan anak disaksikan oleh abang, Asyraff dan Munirah yang kembali semula ke bilik wad abah setelah melihat kelibat ibu sudah tiada.



“Abah. Angah sayang abah, angah sayang along, angah sayang Asyraff, angah sayang Munirah, angah sayang ibu. Tapi kenapa ibu benci angah?” soalku dalam nada sedu.



“Disebabkan ibu benci angahlah, abah bercerai dengan ibu”, terang abah. Dalam masa sejam, abah menceritakan segala-galanya kepadaku. Abang cuma membatukan diri kerana dia memang tidak mahu peristiwa lama itu menghantui fikirannya kembali. Asyraff sudahpun terlena di atas katil abah manakala Munirah masih lagi dibuai mimpi dalam dakapan abang. setelah abah menerangkan satu persatu peristiwa lepas, aku terkaget bagaikan tidak percaya dengan peristiwa hitam itu.



Waktu itu aku baru sahaja berumur sepuluh tahun manakala abang masih berumur empat belas tahun. Asyraff pula masih dalam kandungan ibu. Ketika abah keluar bekerja, ibu membawa aku ke sebuah kawasan yang sunyi sepi. Ibu telah menjual aku kepada sekumpulan sindiket penjualan kanak-kanak dengan habuan RM100,000. Mujurlah abah menyaksikan sendiri tindakan jahat ibu lalu terus mendapatkan mereka. Malangnya, abah dipukul dan disepak oleh mereka dengan kuat sehingga abah mengalami luka yang banyak. Meskipun sudah tercedera, abah erat memelukku.



Tiba di rumah, ibu terkejut melihat keadaan abah. Baju abah basah disimbahi darahnya. Ibu bertambah terkejut tatkala matanya melirik ke arahku. Bermula dari situ, abah dan ibu bertelagah di hadapanku dengan ayat-ayat cacian. Kata ibu, dia sengaja menjual aku supaya mendapat duit lebih. Dia tidak tahan dengan hidup serba daif lagi. Abah berang lalu membuang duit kotor itu ke tempat pelupusan sampah.



“Aku sanggup mati kelaparan daripada makan duit yang kotor bernajis ni!” tengking abah. Ketika itu pula, abang pulang dari sekolah. Seperti dirasuk syaitan, ibu mencapai pisau dan menghunuskannya ke leher abang.



“Apa kau dah gila? Jangan terlalu mengikut hawa nafsu sehingga mahu membunuh along pula!” abah meneriak membuatkan aku berasa gerun. Serentak itu, aku menangis sekuat hati.



“Biar aku bunuh kedua-dua budak ni! semakin ramai menghuni rumah ni, semakin miskin kita, bang!



“Biar kita kaya anak, jangan kaya harta. Turunkan pisau tu atau aku halau kau dari sini!”



Arahan abah tidak diendahkan oleh ibu. Perlahan-lahan ibu membenamkan pisau ke leher abang sehingga jelas kelihatan jaluran darah mengalir dari leher abang. Abah cepat-cepat menolak ibu. Tindakan abah membuatkan ibu mengalami sakit hendak berasalin dan terpaksa melahirkan Asyraff dalam keadaan tidak cukup bulan. Sangkaan abah, ibu tidak akan buat perangai lagi tetapi ternyata tidak. Ibu memukul aku bertubi-tubi sehingga aku tidak sedarkan diri. Di saat itulah abah menceraikan ibu dengan talak tiga kerana bagi abah, dia tidak sesekali mahu ibu kembali ke pangkuannya. Abah menghalau ibu dan cekal membesarkan aku dan Asyraff ketika itu.



Sebaik sahaja abah menghabiskan cerita, abang menjerit ketakutan. Abang duduk berteleku di sudut tepi bilik wad. Wajahnya menjadi pucat seolah-olah bulan kesiangan. Barangkali abang terlalu trauma dengan peristiwa itu. Aku menenangkan abang dengan memeluknya. Di kala itulah baru kusedar, di leher abang ada kesan parut.



“Maafkan abah. Abah memang bapa yang gagal buat anak-anak abah. Abah memang tak berguna! Sepatutnya abah memberikan kebahagiaan buat along, buat angah, buat adik-adik. Tapi ternyata abah silap. Abah seorang bapa yang teruk!” ujar abah. Dia mengusap-usap kepala Asyraff yang masih terlena.



“Tak, abah. Abahlah bapa yang terbaik. Angah berjanji angah akan berusaha bersungguh-sungguh buat abah. Angah berjanji akan mengubah kehidupan kita. Angah berjanji”...



Berkat usahaku akhirnya berbalas. Keputusan SPMku sangat cemerlang sehingga melayakkan aku belajar di luar negara. Pada mulanya, aku tidak mahu kerana takut hendak berjauhan dengan keluarga tercintaku. Namun Cikgu Fatimah memujukku dan menanggung segala kos pembelajaranku di sana. Setiap bulan Cikgu Fatimah mengirim wang kepadaku dan sentiasa berpesan agar aku tidak melupakan budaya hormat-menghormati. Di sana, mahasiswa luar negara memandang rendah terhadap mahasiswa berhijab, tetapi aku tetap memakai tudung kerana tidak mahu ajaran Islam terhalang hanya disebabkan pandangan keji mereka. Kalau boleh, aku tidak mahu terlupa akan agama dan tempat asalku.



Segala puji bagi ALLAH, lima tahun aku merantau di luar negara dan selamat kembali ke Malaysia dengan memegang ijazah PhD dalam perubatan. Air mataku tertumpah tatkala abah dan adik-beradikku sedang menungguku di kawasan penerbangan. Tidak terluah oleh kata-kata melainkan aku memeluk dan mencium abah. Jiwaku teramat rindu akan abah, abang, Asyraff dan Munirah.



Kini, aku berjaya melunaskan hasrat abang dengan mendirikan sebuah hospital atas namaku sendiri. Dengan wang yang ada, abang tanpa segan silu mengambil peperiksaan SPM dan melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka di Malaysia dalam jurusan sains perubatan. Akhirnya, cita-cita abang tercapai dan kini dia sudahpun menjadi doktor fisiologi di hospitalku sendiri. Dia sudah mempunyai rumah sendiri kerana mahu hidup berdikari manakala aku masih lagi duduk bersama abah dan adik-adik. Dulu, aku ingin membeli sebuah banglo di lereng bukit, tetapi abah melarang. Katanya, lebih baik hidup bersederhana daripada bermegah-megah dengan benda duniawi. Oleh itu, aku dan abah serta adik-adikku hanya duduk di rumah teres berdekatan dengan hospital. Meskipun duduk di rumah murah, namun kehidupan kami sangat bahagia.



Asyraff pula kini menjadi pelajar agama. Katanya, dia bercita-cita menjadi seorang pendakwah bebas seperti Ustaz Azhar Idrus. Aku bangga dengan cita-cita murni Asyraff. Lebih membanggakan tatkala melihat kejayaan Asyraff yang sering mendapat anugerah qari’ terbaik peringkat negeri kategori pelajar OKU. Memang tidak disangkal lagi dia gemar menghafal ayat suci al-Quran sedari umur sepuluh tahun. Waktu itu, aku membeli al-Quran baru buatnya.



Munirah, adik comelku pula bersekolah di sekolah menengahku dahulu. Meskipun baru sahaja tingkatan satu, tetapi Munirah sangat aktif dalam olahraga. Dia amat meminati sukan badminton dan menjadikan Lee Chong Wei sebagai idolanya. Aku sering menasihatinya agar tidak lupa akan pelajaran.



Abah pula kini semakin lemah. Dia tidak sekuat dahulu. Abah hanya mampu duduk di kerusi roda untuk memudahkannya bergerak. Badannya mulai mengecut tetapi ketegasannya dalam mendidik anak-anak masih lagi belum padam. Berkali-kali aku dan abang bergaduh kerana berebut untuk menjaga abah, bukan kerana harta, bukan kerana wang. Cuma mahu membalas jasa abah yang tidak jemu menjaga kami ketika kami hidup serba kekurangan itu. Namun, keputusan sudah dibuat apabila abah mahu kami sama-sama duduk di bawah satu bumbung seperti dahulu.



Suatu hari, aku berjumpa dengan Cikgu Fatimah. Cikgu sudah meningkat usia dan diriku ini sudah tidak dikenali olehnya lagi. Aku tidak berkecil hati. Sebaliknya, aku memberi sedikit sumbangan kepadanya setelah mengetahui dia mengalami masalah kesihatan semenjak terjatuh dari tangga sekolah. Ibu pula, aku tidak lagi mengambi tahu. Biarlah dia dengan dunia sementaranya itu.



Kini, aku berbangga kerana dapat membuktikan kepada semua bahawa orang miskin juga boleh berjaya sehingga ke menara gading. Aku berbangga kerana dapat membuktikan bahawa budak busuk seperti aku juga boleh cemerlang. Aku berbangga kerana dapat membuktikan bahawa pengorbanan abah dan abang terhadapku memberi kejayaan kepada kami sekeluarga. Alhamdulillah. Segala puji bagi ALLAH, Tuhan semesta alam...



**okey tak? saya buat cerpen ni untuk pertandingan sayembara..harap2 dapat sambutan..hehew!

6 comments:

  1. Alolo comelnya gambar atas
    Tapi kan tapi kan
    Hahaha aku tengok cam Zam dukung zatul masa kecik2 ngahahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. lakk kau...
      takde maknenyew lerr bro..
      mustahil dia tu muka penyayang macam ni..haha!

      Delete