Saturday, 5 May 2012

aDa iDea TaK?

assalamalaikum~
first sekali..nak beritahu sikit yang saya betul2 tension..(T_T)




huk3..nak cakap ni..saya baru buat sampai bab 13 novel saya sebab tiba2 aje rangka cerita novel yang saya tulis dalam buku hilang..huwaa!! jadi, terpaksalah minta pendapat daripada semua orang ) malu sebenarnya ni..hehew!)..di sini saya post bab 13 sebelum segala2 idea dalam otak hilang terus..kalau tak keberatan, bacalah bab 13 ni..kalau nak komen tentang tatabahasa saya, silakan..jangan malu2..(^_^)



Suasana SK Cindai menjadi dingin setelah embun pagi menyaputi seluruh daerah Bukit Katil. Hawa sejuk yang mendatang sudah cukup menggigilkan badan Zam padahal tubuhnya sudah pun diselubungi sweater sepanjang perjalanannya ke sini tadi. Sebaik sahaja Zam menanggalkan topi keledar dari kepalanya, dia melurut-lurutkan rambutnya ke atas sehingga rambutnya terpacak sedikit ke langit. Hari ini, dia perlu tampak kemas dan segak kerana kelasnya nanti akan dipantau oleh wakil daripada Kementerian Pendidikan bagi melihat prestasinya mengajar murid-murid lemah seperti darjah 6 Dedikasi.



         Setiap hari Zam memarkirkan motorsikal jenama Modenas KRISS 110 di kawasan padang kerana berasa segan dengan semua guru SK Cindai yang kebanyakannya pergi ke sekolah dengan kereta mewah dan motorsikal berjenama terkini. Dia sedar bahawa motorsikalnya itu sudah dikira ketinggalan zaman.

            “Gaji kau kan lebih dari RM1,000. Kalau didarab dengan 12 bulan, dah mencecah berpuluh-puluh ribu dah. Mustahil kau tak mampu beli motorsikal baru. Dah tahu sekolah kau ramai yang kaya-raya, pergilah beli motorsikal baru. Taklah kau rasa malu nak parkir motor kau nanti”, kata-kata Nadhirah setahun yang lalu masih terngiang-ngiang dalam gegendang telinganya kini. Berbisa sungguh bicaranya meskipun tidak berlapik!

            Sebenarnya, dia memang memasang angan-angan untuk memiliki motorsikal baru yang lebih elegen. Namun, dia berasa berat hati hendak meninggalkan motorsikal Modenas KRISS 110. Mana tidaknya, sedari umur 14 tahun lagi dia telah berhempas pulas bekerja sebagai pembantu gerai setiap kali habis persekolahan untuk mengumpul wang demi membeli kemudahan itu. Ketika dia berumur 17 tahun, barulah dia dapat membelinya. Motorsikal itulah lambang usahanya dahulu.

            Ah, tidak mengapalah! Apa yang penting adalah perihal pemantauan wakil Kementerian Pendidikan itu. Zam percaya bahawa aset pertamanya ini akan membantu dalam meningkatkan mutu  pengajarannya; kekemasan diri. Namun, dia masih belum percaya jika aset keduanya akan berjalan lancar ataupun tidak; sikap murid-murid 6 Dedikasi.

            Seminggu lalu, Guru Besar sudahpun menguar-uarkan kepada semua murid bahawa wakil Kementerian Pendidikan akan datang ke sekolah. Oleh itu, beliau berjanji akan memberi ganjaran kepada semua murid jika mereka menjaga tatasusila dan perangai masing-masing. Murid-murid darjah 6 Dedikasilah yang paling teruja sebaik sahaja Guru Besar menjanjikan ganjaran. Tidak tahulah sama ada mereka akan berkelakuan baik atau sebaliknya.

            Zam dapat membayangkan tindak-tanduk anak-anak muridnya apabila pemantauan berlangsung. Sudah pasti ada di antara mereka berpura-pura menjadi murid yang akur dan taat akan arahannya. Semestinya juga ada di antara mereka dengan ringan mulutnya menghujani pelbagai soalan berkenaan silibus yang akan diajar olehnya. Selain itu, sudah pasti ramai di antara mereka akan menyiapkan kerja sekolah secepat mungkin dan pastinya juga tidak akan ada seorang pun yang ponteng semasa kelas Zam nanti. Haha..

            Kecil-kecil sudah pandai bertalam dua muka.

            Tanpa disedari, Zam menguntum senyuman. Terasa kelakar pula apabila membayangkan perubahan drastik anak muridnya itu. Bagus juga ada pengawasan wakil daripada Kementerian Pendidikan ini. Kalau hari-hari kelasnya dipantau, senanglah hidup Zam melayan kerenah murid-muridnya itu. Namun, senyumannya mula hambar tatkala fikirannya dirusuh dengan satu nama.

            Johan.

            Murid itu sudah pasti sedang menyusun strategi bersama konco-konconya untuk mengharu-birukan keadaan nanti.

            “Ya ALLAH, dengan namaMU aku hidup dan dengan namaMU jua aku mati. Permudahkanlah urusanku hari ini tanpa sebarang kekangan”, di lubuk hati, Zam berdoa. Dia mengusap muka mengaminkan doa.

            Dia betul-betul mengharapkan prestasi pengajarannya cemerlang dalam pemantauan wakil Kementerian Pendidikan nanti. Dia mahu buktikan kepada guru-guru di SK Cindai bahawa dirinya tidak patut disisihkan hanya kerana dia guru kelas 6 Dedikasi. Tidak patut mereka menilai dirinya seperti itu! Seharusnya, dia perlu dinilai melalui mutu pengajaran, bukan memulaukan sebegini hanya kerana hal remeh!

            Keluhan dilepaskan lalu dia turun dari motorsikal.

            Hari ini adalah penentu segala-galanya!

            Zam menggalas beg berisi laptop dan buku rekod mengajar tanpa menanggalkan sweaternya. Di tangannya sedang membimbit buku nota berwarna ungu. Di dalam buku itu banyak rangkaian karangan terbaik yang ditulis oleh calon-calon UPSR tahun lalu. Semalaman dia menyalin hampir lima puluh karangan melalui internet. Kalau boleh, dia mahu setiap seorang daripada muridnya nanti membaca setiap satu karangan di hadapan kelas nanti.

            Baru sahaja beberapa langkah menuju ke sekolah, Zam teringat sesuatu yang penting. Dia meraba-raba dadanya yang diselubungi sweater. Alamak, matilah! Dia terlupa hendak memakai elemen penting; tali leher! Segera dia berjalan pantas. Barangkali Cikgu Salim ada tali leher lebih. Dia perlu meminjam tali leher daripada guru pertengahan umur itu secepat mungkin. Matanya tidak lekang memandang bilik guru yang jauh itu.

            Dalam keadaan yang terkocoh-kocoh, tiba-tiba Zam dilanggar oleh seseorang bertubuh kerdil dari tepi. Dia jatuh tengkurap dan buku ungu yang dibimbitnya melayang entah ke mana. Si tubuh kerdil itu pula jatuh menghempap badan Zam. Isi dalam beg tangan yang dipegangnya berselerakan dan buku ungu milik si tubuh kerdil itu juga terpelanting dan mendarat betul-betul di atas buku ungu Zam.

            “Hoi! Buta ke?!” Zam menengking lalu menoleh ke arah tubuh kerdil yang ‘terdampar’ di atas badannya. Rona matanya jelas menggambarkan bahawa dia amat marah saat ini. Sudahlah tali leher tidak dipakai, malah kena langgar pula dengan orang buta jalan ni. Dia merengus, keadaannya tidak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga.

            Matanya membelingas menoleh si tubuh kerdil yang sudahpun bangun. Oh, dia perempuan rupa-rupanya! Berambut hitam separas pinggang. Berkulit putih dan berkemeja seperti pekerja kilang. Hati Zam tertanya-tanya, macam pernah kulihat perempuan ini, tapi di mana? Sebaik sahaja perempuan itu memalingkan muka, Zam terkedu seketika.

            Dia! Wanita yang dia idamkan itu!

            “Maaf..maafkan saya. Saya tak sengaja. Maafkan saya”, rayu perempuan itu sambil mengibas-ngibas bajunya yang dilekati tanah merah. Namun, Zam tidak mendengar kata-kata perempuan itu. mulutnya terlopong manakala jantungnya bagaikan tidak berfungsi. Adakah aku sedang bermimpi? Persoalan mula bermain dalam fikirannya.

            “Encik tak apa-apa? Ada cedera tak?” soal perempuan itu pula dan kali ini dia memegang telapak tangan Zam yang sudah dikerumuni tanah merah. Zam masih dalam awang-awangan. Perasaan bahagia berbaur dalam relung hatinya. Terasa seperti sehelai sutera membelai tangannya saat ini. Oh, indahnya!

            PINNN!! PIINN!!

            Bahu Zam terhinggut, terkejut dengan bunyi hon bas kilang dari jalan utama. Perempuan itu terkocoh-ganyah mengutip barang-barangnya lalu sumbat ke dalam beg tangan. Dia mengambil buku ungu dan terus berlari-lari anak menuju bas kilang tanpa sedikitpun menoleh ke arah Zam. Zam? Usah ditanya keadaannya sekarang. Dia umpama dalam keadaan tidak sedar. Dia masih terlopong dan tidak bangun-bangun sehinggalah bas kilang lenyap dari pandangannya.

            Bagaikan tidak percaya! Perempuan itu telah melanggarnya tadi? Adakah ini kebetulan atau suratan takdir? Yeaho! Hati Zam melonjak-lonjak kegembiraan. Barangkali perempuan itu adalah benar-benar jodohnya!

            “Cikgu Zambry, kenapa cikgu duduk atas tanah merah ni?” soal Sakinah sambil menuntun basikal. Serta-merta Zam kembali ke alam realiti. Matanya berkerdip-kerdip bagaikan tidak tahu apa yang telah berlaku. Zam bangun sambil menepuk-nepuk badannya yang mulai diselaputi debu tanah merah manakala Sakinah menongkat basikalnya dan mengutip buku ungu lalu menghulurkan ia kepada Zam.

“Cikgu, nah buku..”

            “Bak sini!” bidas Zam. Dia merampas kasar dan terus berlalu masuk ke perkarangan sekolah meninggalkan Sakinah. Mata Sakinah membidik ke arah Zam. Ada perasaan aneh berlegar-legar dalam benak hatinya tatkala ini. Ganjil sungguh sikap guru kelasnya hari ini. Dan tanpa diduga, ada bunga-bunga kasih berkembang dalam hatinya kini.


            “Assalamualaikum”, sapa Zam sambil melangkah masuk ke bilik guru. Kedinginan penghawa dingin sekali lagi menggigilkan badannya. Pelik betul. Dalam keadaan berembun begini, semua guru masih boleh menghidupkan penghawa dingin lagi. Tak rasa sejuk ke, gerutunya dalam hati. Sapaan salam Zam tidak seorang pun yang menjawab, malah mereka memandang sinis terhadap Zam. Ada juga yang sedang berbisik-bisik antara satu sama lain sambil mata menatap wajah Zam. Tidak lain dan tidak bukan sedang mengumpatlah tu.

            “Seronok dapat dosa pagi-pagi ni?” tegur Zam. Mereka yang berbisik-bisik tadi terus meluru keluar dari bilik guru. Apa yang menghairankan Zam, mereka semua kelihatan benar-benar bahagia. Dan kemudian semua guru turut samat keluar mengosongkan ruang bilik guru. Hanya kedengaran hembusan penghawa dingin sahaja setakat ini.

            “Baguslah. Keluarlah bila nampak aku. Senang sikit aku mencuri kat sini”, omel Zam lalu berjalan menuju ke mejanya yang terletak agak belakang dan tersembunyi. Di atas mejanya terselit sehelai surat kumal. Zam meletakkan beg dan buku ungunya ke kerusi lalu mengamati isi surat itu. Tiada nama penulis. Sah, surat layang.

Kepada Cikgu Zambry,
Sila kosongkan meja anda dan berpindah ke bilik kaunseling kerana sekarang meja ini bukan milik anda lagi, tetapi akan menjadi milik guru praktikal yang akan berkhidmat pada hari esok. Sila kemaskan barang-barang anda dengan segera sebelum waktu perhimpunan berlangsung. Saya tekankan di sini bahawa meja anda sekarang adalah di bilik kaunseling, bukan lagi meja ini. Oleh itu, anda tidak perlu ke bilik guru ini lagi. Harap maklum. Arahan daripada GPK.
Saya hanya sampaikan sahaja.
Insan tak tahu apa-apa.


            Zam mengetap gigi diiringi api kemarahan yang sudahpun melebur kesabarannya. Surat itu dikerumukkannya lalu melontarkannya ke lantai. Dia memijak-mijak surat itu sehingga hancur. Nampaknya, semua guru yang menghuni di sini sedang bertepuk tangan kerana dia akan dipulaukan jauh dari bilik guru ini. Syabas, wahai Muhammad Zambry Zailani. Mereka semua telah memberi pengiktirafan kepada kau. Tahniah, guru praktikal. Anda sangat bertuah kerana dapat tempat duduk aku. Hatinya berbicara kegeraman.

            Kotak berlogo Mee Meggi dalam stor dicapainya lalu menyumbat segala barang yang ada di atas meja dan dalam laci meja. Zam mengambil foto di sebalik cermin meja dan mengamatinya. Selama ini, foto Mak Lang dan Pak Langlah yang menjadi penguat semangatnya sepanjang berkhidmat di sini. Kerinduan terhadap Pak Lang mula merasuki perasaannya sekarang. Entah bilalah dia akan menziarahi pusara bapanya nanti.

            “Berkemas?” sergahan soalan daripada Cikgu Rogayah mematikan lamunan Zam. Dia sekadar meneruskan kemasan, malas hendak membuka mulut di saat api kemarahan sedang meledak ini.

            “Zambry nak pergi mana? Takkan dah kena pecat? Siapa yang pecat Zambry? Guru Besar?” soal Cikgu Rogayah lagi, bertalu-talu.

            Zam mengangkat kotak berisi barang-barang dan buku-buku latihan murid seraya menjawab dengan tenang, “Kalau saya kena pecat sekalipun, siapa yang ambil peduli”. Dia menggalas semula beg dan terus menuju ke pintu. Langkahannya terhenti apabila Cikgu Rogayah mendepakan tangan ke arahnya. Mata mereka bertentangan. Wajah Cikgu Rogayah begitu tenang meskipun sedang berhadapan dengan wajah marah si guru muda itu.

            “Mari, akak tolong Zambry angkatkan barang”, pinta Cikgu Rogayah.

            “Tak payahlah, kak. Akak sepatutnya jangan menolong cikgu yang dipulaukan macam saya ni. Akak pergilah ke tapak perhimpunan, join mereka yang tengah bergembira bila saya dah kena pin...”

            “Akak faham. Dan sebab itulah akak datang ke sini untuk menolong Zambry”, bidas Cikgu Rohayah sambil mengukir senyuman manis. “Mari, biar akak tolong angkatkan”. Cikgu Rogayah terus menepis tangan Zam lalu mengangkat kotak.

            “Akak tahu ke saya kena campak kat mana?”

            “Tahu. Di bilik kaunseling, bukan?”

            “Ya. Cepat betul berita tentang saya disebarkan, kan?”

            “Bukan. Akak memang dah tahu. Tiada sesiapa yang hebah-hebahkan lagi tentang hal ni. Lagipun, siapa aje yang datang ke bilik kaunseling dan menceritakan perihal info baru yang berlaku di bilik guru?”

            Zam terdiam. Betul juga kata-kata Cikgu Rogayah. Siapa saja yang akan memberitahu guru pertengahan umur itu berkenaan perkara-perkara yang berlaku. Jarak di antara bilik guru dengan bilik kaunseling amatlah jauh. Mustahil berita dia dihalau dari bilik guru ini tersebar luas padahal belum sepuluh minit ia berlaku.

            “Tapi, macam mana akak boleh tahu semua ni? Pasang spy?”

            Cikgu Rogayah ketawa.

            “Bukan. Akak memang dah jangka Zambry akan dipindahkan ke bilik kaunseling sejak Zambry jadi guru kelas 6 Dedikasi lagi. Maksud akak, bilik guru kedua sekolah ni”

            “Ha?” Zam mengerut dahi.

            “Tak apa. Suatu hari nanti, Zambry akan faham apa yang akak cakapkan. Dan Zambry akan tahu kenapa akak duduk di bilik kaunseling juga. Mari, cepat kemas meja baru Zambry. Kejap lagi wakil Kementerian Pendidikan akan mula memantau sekolah kita”, celah Cikgu Rogayah seraya tersenyum. Zam masih lagi mengerut dahi. Apakah maksudnya? Adakah Cikgu Rogayah juga sama seperti dia; dipulaukan ke bilik kaunseling?

          Masuk sahaja ke kelas 6 Dedikasi, sudah terlihat bayang-bayang wakil Kementerian Pendidikan yang duduk di belakang kelas sambil membawa sebuah fail dan sebatang pen. Betul sangkaan Zam, anak-anak muridnya mula ‘berlakon’ baik. Buat pertama kalinya, dia masuk ke kelas dengan iringan salam semua murid. Selalunya apabila dia masuk, kekecohan sahaja yang bergema dalam kelas itu.

            “Assalamualaikum dan selamat pagi, Cikgu Zambry!” pekik murid-murid 6 Dedikasi, menunjuk-nunjuk bahawa mereka ‘berkobar-kobar’ hendak belajar. Sebaik sahaja Zam menjawab salam, semua murid duduk dalam keadaan tertib. Zam terdiam  dan persoalan-persoalan mula menjelma meskipun dia tahu mereka sekadar berlakon. Ya ALLAH, kelas 6 dedikasikah ini? Adakah aku tersalah masuk kelas?

            Zam tersenyum sedikit sumbing. Dia ingin membuat muslihat. Memandangkan wakil Kementerian Pendidikan sudah ada, inilah peluang terbaik dia untuk melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh anak muridnya.

            “Okey, kelas. Hari ni cikgu rasa macam nak buat karanganlah hari ni. Apa kata hari ni kamu semua buat rangka karangan bertajuk ‘Ibu saya’. Amacam? Boleh?” duga Zam. Pandangannya masih serius tetapi dalam hatinya terkekeh-kekeh ketawa tatkala melihat roman wajah anak muridnya masing-masing. Ada yang buat muka penyek, ada juga yang mencemik. Haha..padan muka. Inilah balasan korang hari ni, bisik hatinya.

            “Boleh, cikgu!” sahut Sakinah bersungguh-sungguh. Tiga puluh lapan pasang mata merenung tajam ke arah Sakinah sehingga kepalanya menekur ke lantai. Serentak itu, wakil Kementerian Pendidikan mencatat sesuatu dengan wajah selamba.

            Johan melepaskan dengusan dan bersandar ke kerusi. “Alaa..boringlah. Asyik-asyik buat karangan aje. Kalau boleh tambahkan markah ujian tak apalah juga. Ni membazir tenaga kitorang aje”, rungut Johan.

            “Kau tak suka, just shut up”, spontan Zam menjawab. Kata-katanya mengundang rasa geli hati semua murid lalu mereka ketawa berdekah-dekah. Johan tertunduk malu seraya menjeling tajam ke arah Zam. Siaplah kau, cikgu keparat! Gerutunya dalam hati.

            Zam mengumam mulutnya. Alamak! Sepatutnya dia tak perlu menghamburkan kata-kata kasar tadi di hadapan wakil Kementerian Pendidikan. Dan sekali lagi wakil Kementerian Pendidikan itu mencatat sesuatu dalam fail itu. ARGHH!! Apa agaknya yang dia tulis itu.

            “Diam. Okey, mula-mula, cikgu nak berbincang tentang tatabahasa yang cikgu ajar kelmarin. Semua dah ulang kaji, kan?”

            “Dah!” pekik murid-murid 6 Dedikasi lagi.

            “Okey, siapa yang boleh terangkan pada cikgu apa itu Kata Nama?” soal Zam sambil menyilang tangan. Serta-merta semua murid 6 Dedikasi terdiam seribu bahasa. Nampaknya, lakonan mereka memakan diri mereka sendiri. haha..padan muka. Zam membetulkan cermin matanya sebelum memfokuskan setiap wajah anak muridnya. Dia ingin mencari mangsa pertamanya hari ini.

            “Joshua”

            Joshua merupakan satu-satunya anak murid berketurunan Kadazandusun-Melayu di sekolah ini. Murid yang suka menjerit apabila sesuatu barang miliknya digunakan oleh orang lain meskipun seminit dua. Prestasi ujiannya semakin teruk terutamanya dalam subjek Bahasa Melayu. Pernah sekali dia memperoleh markah 10/100 dalam subjek utama itu. Dia memandang Zam dengan harapan agar guru muda itu tidak menyuruhnya menjawab soalannya tadi. Joshua perlahan-lahan bangun dan tangannya diramas-ramas kerisauan.

            “Terangkan pada semua kawan awak, apa itu Kata Nama?” arah Zam. Tangannya masih disilangkan lagi.

            Mata Joshua melilau-lilau ke sekeliling ruang bilik darjah, mencari petunjuk sesuatu yang berkenaan dengan tatabahasa. Tiada. Dia melihat pula setiap wajah rakan-rakannya, barangkali mereka akan memberi jawapan. Tiada. Dia melemparkan pandangan pula di luar kelas, mencari-cari ayat yang sering ditayangkan di setiap kaki lima. Tiada juga. Dia terus menundukkan kepala. Apa patut dia jawab ni??

            “Joshua, i’m waiting..”, tegur Zam sambil tersenyum sumbing. Dia mahu lakonan semua muridnya itu terkena diri mereka sendiri, macam meludah ke langit jatuh terkena muka sendiri. haha..puas hatinya! Biar mereka rasa bahawa talam dua muka memberi akibat buruk pada maruah sendiri.

            “Pstt..”, Leena, rakan sebelah Joshua, berdecit ke arah Joshua. Dia membuat isyarat supaya Joshua memandang ke meja. Dia menunjukkan sesuatu nota kepada Joshua senyap-senyap di atas meja. Terdapat ayat berkenaan Kata Nama ditulis pada kertas kumal itu. joshua menguntum senyuman ke arah Leena, menampakkan giginya yang berlapis sebelah kanan. “Baca cepat”, ujar Leena dalam keadaan berbisik.

            “Terima kasih”, bisik Joshua. Leena sekadar tersenyum. Mata Joshua membidik ke arah Zam sambil tangannya memegang kertas kumal berisi jawapan. Dia ingin memastikan guru muda itu tidak menyedari bahawa dia sedang membaca jawapan. Perlahan-lahan Joshua mengerling kertas kumal itu lalu mengutarakan jawapan.

            “Urmm..Kata Nama ialah kata yang merujuk kepada orang, tempat atau benda, antaranya termasuk kata nama am dan kata nama khas”, lancar Joshua membaca. Mukanya mempamerkan perasaan bangga kerana dapat menjawab soalan paling susah baginya. Zam mengetap gigi, dia tahu ada orang sedang membantu budak lemah Bahasa Melayu itu. Wakil Kementerian Pendidikan menjengah-jengah melihat Joshua lalu mencatat sesuatu buat kali ketiga.

            “Bagus. Duduk, Joshua”, arah Zam. ARGHH!! Pelannya tidak menjadi. Barangkali dia tidak patut mengambil kesempatan dengan mengenakan anak muridnya sebegini rupa. Dia mendengus berat, tanpa disedari dia sudah memperoleh dosa atas penganiayaan muridnya sendiri di awal pagi yang indah ini. Astaghfirullahal’azim.

            “Okey. Cikgu ada salin banyak karangan terbaik UPSR tahun lalu. Lebih kurang 50 buah karangan”, ujar Zam sambil memegang buku ungu lalu menayangkannya di khalayak murid 6 Dedikasi. “Cikgu mahu kamu semua baca setiap satu karangan ini di hadapan kelas. Sebutan ayat mestilah jelas dan jangan tersangkut-sangkut. Kita mulakan dengan Sakinah”.

            Sakinah tersenyum manis. Bahagia rasanya apabila cikgu kesayangannya memanggil namanya dahulu. Dia bangun dari tempat duduk lantas pergi ke hadapan. Zam menghulurkan buku ungu kepada Sakinah sebelum dia duduk di kerusi guru. Berbekalkan semangat yang menyala-nyala, Sakinah mengamati setiap tulisan dalam buku ungu itu. Namun, dia masih belum membuka mulut membaca apa yang ditulis oleh Zam. Sebaliknya dia melongo ke arah Zam.

            “Cikgu, betul ke ni karangan UPSR?” soal Sakinah, inginkan kepastian.

            “Yalah, takkan karangan SPM kakak kau. Baca aje! Jangan banyak bunyi pula”, herdik Zam. Dia menekup mulutnya seraya memandang wajah wakil Kementerian Pendidikan. Oh, tidak! Wakil itu mencatat lagi.

            Sakinah mengeluh kecil. Fikirannya masih menimbang sama ada hendak membaca isi kandungan buku ini atau tidak. Jikalau membacanya, sudah tentu Cikgu Zambry akan mendapat malu. Jikalau tidak membacanya, nanti wakil Kementerian Pendidikan akan mencatat sesuatu yang buruk tentang kelasnya pula. Dengan helaan nafas berat, Sakinah memberanikan diri untuk membaca isi kandungan buku ungu itu.

            “Tarikh 12/3. Kepada diari, hari ni aku betul-betul penat sebab senior kat kilang aku semuanya tak boleh harap. Nak aje aku berhenti kerja hari ni juga. Tak tahan gila dengan perangai bodoh diorang tu. Kalaulah ada Doraemon, aku nak dia bagi aku lampu pengecil. Aku nak kecilkan badan senior-senior tu. Lepas tu, aku nak pijak diorang sampai mampus. Haha. Puas hati gila! Harap-harap esok aku dapat bekerja dengan sabar”, dengan sekali nafas, Sakinah membaca lancar. Mukanya merah seperti disimbahi darah manakala semua murid 6 Dedikasi ketawa terbahak-bahak mendengar bacaan Sakinah. Ada yang menumbuk-numbuk meja dan ada juga yang menekan perut kerana tidak tahan ketawa.

            “Apa kau baca ni hah, Sakinah?!” Zam membentak lalu bangun dari duduknya.

            “Saya..saya baca apa yang ada dalam..”, kata Sakinah tersekat-sekat. Empangan matanya mula digenangi air mata. Buku ungu yang dipegangnya dirampas oleh Zam. Terbelalak mata Zam apabila membaca buku ungu itu, atau lebih tepat lagi DIARI. Kini, wajahnya pula yang makin memerah. Dia menghempas buku ungu itu ke meja bagi memberi isyarat agar semua muridnya diam, tetapi isyaratnya langsung tidak diendahkan. Mereka terus-menerus ketawa. Sakinah pula sudah mula menangis.

            “Diam! Semua diam atau sorang-sorang aku sepak sampai berdarah hidung!” Zam memberi amaran. Serentak itu, semua muridnya terdiam. Pundak masing-masing masih lagi terhinggut-hinggut menahan ketawa daripada terhambur. “Sekali lagi aku dengar suara orang ketawa, sepuluh kali aku tampar!” herdiknya lagi. Zam menoleh ke arah wakil Kementerian Pendidikan. Wakil itu menggeleng-geleng sambil tersengih. Tangannya ligat mencatat sesuatu lagi. Ah, teruklah prestasi pengajaran aku kali ini!

            Zam menyalin soalan tatabahasa di papan hitam. Tangannya ligat menulis tetapi fikirannya mencanai sesuatu berkenaan diari ungu yang telah memalukan dirinya. Dari mana pula dia dapat diari merepek itu?! Mustahil diari itu ditulis olehnya kerana sepanjang hidupnya tidak pernah mencatit apa-apa berkenaan kehidupan seharian.

            “Cikgu pelik. Tulis diari warna ungu”, sindir Johan seraya ketawa terkekeh-kekeh. Tawanya disambut oleh Rajendran dan Tan.

            Kata-kata celaan Johan membuatkan telinga Zam terasa panas. Hatinya mula digelodak amarah yang tidak dapat ditanggung lagi. Kesabarannya kian tipis. Matanya mencerlung pada pemadam papan hitam yang tebal diselaputi debu-debu kapur. Tangannya terus mencapai pemadam papan hitam lalu membalingnya ke arah Johan. Pemadam papan hitam itu betul-betul mendarat ke muka Johan dan serta-merta kulit sawo matangnya menjadi putih melepak seperti watak Ajis dalam filem Laksamana Bujang Lapok.

            “Bwahahahaha!”. Sekali lagi murid-murid darjah 6 Dedikasi ketawa terbahak-bahak tetapi kali ini lebih kuat daripada sebelumnya. Oleh kerana terlalu kelakar, salah seorang daripada mereka terduduk di atas lantai sambl menekan-nekan perutnya.

            “Diam!! Cepat salin soalan ni!” perintah Zam lalu menyambung penulisannya. Namun, arahannya tidak diikuti oleh semua murid kecuali Sakinah yang masih menyalin soalan dalam keadaa sedu-sedan. Zam menulis soalan dengan kekecewaan. Kecewa kerana segala-galanya semakin teruk. Kecewa kerana buku ungunya tiba-tiba sahaja menjadi diari. Kecewa kerana murid-muridnya makin menambahkan masalah walaupun mereka berusaha berlakon menjadi baik. Dia mengerling ke arah belakang kelas.

Wakil Kementerian Pendidikan itu tersenyum lebar sambil mencatat lagi. Sudah terang lagi bersuluh, faham benarlah Zam bahawa pemantauan ini bakal menyaksikan kegagalannya dalam mendidik murid-murid. Malang betul!

Sementelah itu, Johan membersihkan mukanya dengan sapu tangan. Rajendran mengurut-urut beakang Johan manakala Tan masih lagi ketawa. Kini, dendam terhadap Zam semakin membuak-buak. Dia tidak dapat bersabar lagi. Matanya tersorot ke arah tangannya yang sedang menggenggam pemadam papan hitam. Benda ini akan menjadi saksi kekejamannya esok. Siaplah kau, Cikgu Zambry Zailani!


Langkahan Zam menjadi lemah setelah masuk ke bilik kaunseling, atau lebih tepat lagi bilik untuk orang yang dipulaukan sepertinya. Dia bersandar ke dinding lalu duduk berteleku melayan perasaan. Beberapa kali kepalanya sengaja dihantukkan ke dinding dalam keadaan mata terkatup. Malunya dia dengan kejadian tadi, hanya ALLAH sahaja yang tahu. Sakitnya hati yang dialami ketika dihalau keluar, hanya ALLAH jua yang tahu.

Hari ini berlaku secara mendadak. Inilah padahnya apabila tidak memulakan kerja dengan niat kerana ALLAH tetapi sebaliknya niat kerana ingin menganiaya murid sendiri. Zam menghempas buku rekod mengajarnya di atas lantai. Kekesalan makin membadai jiwanya. Andai masa dapat diundurkan, sudah pasti dia tidak akan dimalukan begini. Sudah pasti wakil Kementerian Pendidikan akan memuji cara-cara pengajarannya juga.

“Terima kasih atas kerjasama cikgu, tetapi saya sarankan supaya cikgu perlulah bersikap profesional dalam mendidik murid lemah seperti darjah 6 Dedikasi ini”.

Bicara daripada wakil Kementerian Pendidikan cukup menyentap hatinya. Ternyata, dia adalah guru yang paling teruk dalam dunia! Zam tertunduk sambil menanggalkan cermin matanya. Tidak, dia tidak patut memutarkan kejadian yang meruntun kesabarannya tadi. Dia memerlukan sesuatu yang menggembirakan jiwanya sekarang!

Menggembirakan jiwa?

Zam terdiam. Baru dia teringat, pagi tadi dia baru sahaja melanggar perempuan idamannya itu. Pertemuan singkat tetapi sudah cukup membisukan mulutnya. Kalau sebelum ini Zam memerhati perempuan idamannya itu dari jauh, sekarang dia dapat pula menyentuh tangannya. Perempuan itu kelihatan cantik apabila dilihat dari dekat. Alangkah bagusnya jika dia tahu nama, nombor telefon dan alamat perempuan itu.

Mata Zam terbelalak. Adakah buku ungu itu kepunyaan perempuan idamannya? Segera dia membelek buku ungu itu. Siti Damya Maisarah binti Abdul Wahid. 22 tahun. Tinggal di kawasan taman berdekatan sekolah. Bekerja sebagai pioneer. Suka akan warna merah jambu dan masakan kampung. Pandai memasak masakan kampung dan masakan orang Minang. Masih single. Nombor telefon adalah 017-60XXXXX.

Wah, penerangan pemilik buku yang sungguh terperinci! Namun, Zam masih berasa was-was sama ada buku ini benar-benar milik gadis idamannya atau tidak. Dia meneruskan selakan satu persatu halaman dengan harapan supaya dapat menemui petunjuk. Sebaik sahaja menyemak separuh dari ketebalan buku ungu itu, terdapat sekeping foto melayang-layang keluar dari selitan buku. Zam menangkap foto tersebut lalu mengamatinya.

Sah, inilah gadis idamannya, Damya Maisarah!

Zam tersenyum gembira menampakkan lesung pipit kirinya. Barangkali inilah hikmah di sebalik apa yang berlaku hari ini. Hanya kerana memikirkan Damya Maisarah, dia berasa amat riang seolah-olah terlupa insiden memalukan dan menyakitkan hatinya hari ini. Kini, maklumat gadis idamannya di dalam genggaman. Zam memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Moga-moga Damya Maisarah adalah jodohnya dan bidadari di syurga firdausi nanti.


okey tak ayat saya? dan lepas buat bab ni, saya terus tak ada idea..huwaa!! kalau ada idea, komen boleh? jasamu amat dikenang!!





#NOTA: misal kata korang semua tak berapa faham jalan cerita bab 12 ni, beritahu saya..insyaALLAH saya akan berikan sinopsis novel saya~~(^__^)






5 comments:

  1. macam mane dye jumpe dgn gurl tu??
    saye terlepas bace ke?? *blurr

    ReplyDelete
    Replies
    1. ooh..adik terlepas baca..girl tu terlanggar dia..itulah pertemuan diorang..^^

      Delete
  2. hai yayah. saye, liyana syahirah. saye ingin memberi sedikit pendapat, ape kate, unsur pertemuan antara zam dan perempuan tersebut, dipanjangkan lagi, maksudnya, cerita mengenai mereka berdua dipanjangkan lagi. kerana, saye sebagai pembaca, saye ingin mengetahui kesudahan pertemuan pertama mereka. sekian, terima kasih. <~~ sory skema

    ReplyDelete
  3. woi yana skema ar ko...bwahahaha!!!
    ok2 aq p'timbangkn nnt..aq ni pon dh jmpe rgka cerita ue..akak aq yg jmpe..
    yippie!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. woit, suke ati ar nak skema ke tak~ lalala~

      Delete